Mukhadimmah / Introduction

Sempena menjelangnya PILIHANRAYA UMUM 2008 pada tahun ini dan juga sempena kemajuan negara kita menuju kearah Wawasan 2020, eloklah kita berhenti sejenak dan merenung kembali SIAPAKAH pemimpin-pemimpin yang telah dan / atau akan dipilih oleh warganegara kita sendiri.

Sunday, February 24, 2008

(KLPOS.COM) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama menyekat kemenangan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang bertanding untuk kerusi Parlimen Rembau.

Beliau juga menggesa para pengundi di Rembau agar meminta ulama yang mereka yakin kesalehannya untuk bersolat istikharah bagi mendapatkan petunjuk dari Allah sama ada mereka patut mengundi Khairy atau tidak.

Salahuddin memberi jaminan bahawa Barisan Alternatf (BA) sedang meneruskan usaha yang giat dan bersungguh-sungguh dengan para pemimpin dan ahli-ahli Umno yang mahu memastikan kekalahan Khairy.

"Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa misinya ialah untuk mengajak para penyokong Barisan Nasional (BN) menggunakan pilihan raya kali ini untuk membersihkan parti itu khususnya Umno dari pemimpin yang korup dan tunggul mati.

"Beliau juga pernah menyatakan bahawa kerajaan pimpinan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad) Badawi dikuasai Khairy.

"Malah menantu Perdana Menteri itu sendiri tidak menafikan dakwaan Mathias Chang (bekas Setiusaha Politik Dr Mahathir) bahawa beliau (Khairy) kaya-raya kerana menguasai Perdana Menteri," kata Salahuddin yang akan mempertahankan kerusi Kubang Kerian.

Khairy juga, katanya lagi, tidak menafikan pendedahan Dr Mahathir bahawa kerajaan BN Terengganu adalah bonekanya (Khairy) apabila Dr Mahathir menyatakan Terengganu sebenarnya diperintah oleh Khairy dan orang yang dipanggil Patrick Badawi oleh Dr Mahathir.

"Kita percaya kepada apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu. Jika beliau membuat dakwaan tanpa asas, sudah tentu beliau diambil tindakan.

"Mengapa Perdana Menteri, Khairy, keluarga dan rakan-rakan mereka yang terbabit dengan pendedahan Dr Mahathir terus menikus dan takut mengambil tindakan?

"Sedangkan, pendedahan-pendedahan Dr Mahathir itu mengaitkan mereka dengan perbuatan korup peringkat tertinggi kerana bapa mertua Khairy adalah Perdana Menteri dan Khairy sendiri didedahkan oleh Dr Mahathir menguasai kerajaan pimpinan bapa mertuanya," beliau mempersoalkan.

Oleh sebab itulah, Salahuddin meminta Dr Mahathir bertindak menyekat laluan Khairy ke puncak kuasa seperti yang diidamkannya.

Khairy sering dilaporkan mahu menjadi Perdana Menteri selewat-lewatnya ketika berumur 40 tahun. Beliau kini berumur 32 tahun.

"Memandangkan Khairy tidak mengambil apa-apa tindakan yang melampaui keraguan untuk menolak pendedahan-pendedahan Dr Mahathir itu, kita amat bimbang Khairy akan membawa kemusnahan kepada negara yang kita dicintai ini.

"Oleh sebab itulah saya benar-benar berharap Dr Mahathir membantu memastikan kekalahan Khairy di Rembau," kata beliau.

Kepada ahli-ahli Umno yang mengundi di Rembau, Salahuddin meminta mereka jangan membelakangkan nasihat Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno.
Dr Mahathir baru-baru ini mengingatkan supaya umat Islam merujuk kepada ulama untuk memilih pemimpin termasuk dari sudut politik.

"Saya menggesa mereka supaya bersolat istikharah dahulu untuk mendapatkan petunjuk dari Allah adakah mereka patut mengundi Khairy yang bertanding mewakili BN di kawasan Parlimen Rembau.

"Jika mereka belum bersedia untuk bersolat istikharah, saya menggesa mereka memohon ulama yang mereka yakin kesalehannya untuk bersolat istikharah memohon petunjuk dari Allah adakah mereka patut mengundi Khairy," kata beliau.

Di pihak BA, Salahuddin memberitahu, segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan Khairy tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen Rembau termasuk meneruskan usaha yang giat dan bersungguh-sungguh dengan para pemimpin dan ahli-ahli Umno yang mahu memastikan kekalahan Khairy.

0 comments: